Kepentingannya
Entri kali ini saya kongsikan kepada anda tips mudah penjagaan laptop. Adakah penjagaan laptop itu penting? Ya ia sememangnya penting bagi memastikan keselamatan pengguna itu sendiri. Pengabaian ini boleh mendatangkan
kemudaratan kepada pengguna dan juga kemusnahan harta benda. Selain itu, ia dapat mengelakkan laptop anda daripada cepat rosak sekaligus dapat menjamin jangka hayat laptop anda bertahan lebih lama.
kemudaratan kepada pengguna dan juga kemusnahan harta benda. Selain itu, ia dapat mengelakkan laptop anda daripada cepat rosak sekaligus dapat menjamin jangka hayat laptop anda bertahan lebih lama.
Selain daripada penjagaan komponen-komponen laptop seperti skrin, papan kekunci, port, slot, pemacu DVD dan sebagainya, penjagaan sistem komputer juga perlu diberi perhatian. Penjagaan sistem komputer ini penting bagi memastikan prestasi komputer anda berada pada tahap yang terbaik di samping dapat melindungi laptop anda daripada ancaman sistem komputer seperti malware, spyware, virus dan sebagainya.
Apa yang perlu kita tahu?
Berikut adalah beberapa tips penjagaan laptop yang perlu anda tahu, antaranya ialah:
1. Faktor suhu atau haba yang dibebaskan keluar.
- Fokus utama saya adalah suhu. Kepanasan suhu yang melampau adalah faktor yang menyumbang kepada kerosakan pada laptop. Faktor ini boleh dikawal dengan dua cara iaitu luaran dan dalaman.
- Bagi aspek luaran fokus diberikan kepada faktor luaran yang boleh dijadikan alat atau medium bagi penyejukan laptop. Anda boleh gunakan pad penyejuk atau kipas penyejuk USB bagi mengekalkan suhu laptop supaya tidak terlampau panas. Belilah penyejuk yang berkualiti, apa salahnya beli mahal asalkan ia dapat digunakan dalam jangka masa yang lama dan dapat mengoptimumkan penyejukan laptop anda.
- Alternatif lain, anda boleh menggunakan apa jua objek yang munasabah asalkan ianya tebal dan dapat menyokong laptop anda apabila laptop diletakkan di atasnya seperti buku, kotak dan sebagainya. Caranya ialah lapik hujung atas dan bawah pada bahagian bawah laptop dan biarkan kosong pada ruangan tengah bawah laptop supaya pengudaraan pada bahagian bawah laptop lebih sempurna. Ini dapat membantu udara panas keluar daripada laptop dengan bantuan kipas dalaman laptop.
- Kipas USB atau kipas elektrik juga boleh digunakan dengan cara halakan ia pada ruangan udara laptop (pada bahagian tepi sebelah kiri atau kanan berdekatan dengan kipas dalaman) bagi memastikan laptop anda tidak menjadi terlampau panas.
- Jangan sesekali letak laptop anda di atas katil, karpet atau apa jua permukaan yang menghalang aliran udara keluar masuk pada bahagian bawah laptop.
- Bagi aspek dalaman pula, suhu boleh dikawal melalui fungsi tetapan pada sistem pengoperasian Windows itu sendiri. Cara ini saya sering gunakan akan tetapi pengguna akan mengalami sedikit penurunan prestasi pada laptop apabila program yang berat dijalankan seperti permainan PC, perisian multimedia yang berat dan sebagainya. Walau bagaimanapun, cara ini berkesan untuk menurunkan suhu laptop anda. Berdasarkan ujikaji yang saya lakukan, suhu processor menurun di antara 5 darjah Celcius dan 20 darjah Celcius bergantung kepada nilai peratusan kuasa processor yang ditetapkan. Untuk keterangan yang lebih lanjut, anda boleh baca dan klik pada tutorial ini.
- Suhu persekitaran juga perlu diberi perhatian. Pastikan anda menggunakan laptop pada suhu sekitar di antara 20 dan 30 darjah celcius dan pastikan juga persekitaran anda mempunyai ruang udara keluar dan masuk.
2. Skrin
- Lap habuk pada paparan skrin laptop anda dengan tisu atau kain nipis dengan perlahan-lahan dan jangan terlalu kasar.
- Jangan mencucuk skrin dengan jari, pen atau sebagainya.
- Pastikan tiada apa-apa objek di atas papan kekunci semasa anda menutup skrin.
3. Papan kekunci
- Lap habuk pada papan kekunci dengan tisu, kain atau gel.
- Gel berfungsi untuk memerangkap habuk yang terperangkap pada celah-celah papan kekunci.
- Atau anda juga boleh menggunakan getah pelindung khas bagi papan kekunci sebagai langkah berjaga-jaga jika tertumpah air atau sebagainya.
4. Ruang udara, port, slot.
- Gunakan berus kecil seperti berus cat lembut atau berus gigi bagi menyingkirkan habuk yang terperangkap pada ruang udara, port dan juga slot.
- Anda juga boleh menggunakan vakum tangan bagi menyedut habuk pada bahagian berkenaan.
- Saya pernah menggunakan pembersih hampagas kuasa AC bagi menyedut habuk pada bahagian tersebut sebab saya fikir dengan cara ini ia dapat menyedut segala habuk yang terperangkap dengan kuasa yang optimum tetapi cara ini saya TIDAK galakkan kepada pembaca.
- Matikan dahulu laptop sebelum pembersihan.
5. Bateri
- Tanggalkan bateri laptop anda jika anda menggunakan penyesuai kuasa atau sumber bekalan kuasa. Jika tidak, prestasi laptop akan terganggu dan menjadi lembab. Suhu laptop juga akan meningkat disebabkan oleh haba yang dibebaskan pada bateri. Selain itu, keberangkalian untuk membeli bateri baru juga tinggi kerana ia boleh mendatangkan kerosakan pada bateri itu sendiri.
- Jika tidak menggunakan bateri pada jangka masa yang lama contohnya seminggu, dengan memasang perisian energy manager (Lenovo menawarkan tool ini secara percuma), anda boleh mengaktifkan Conservation Mode pada tetapan atau setting bagi mengelakkan pengurangan hayat bateri disebabkan oleh bateri terlalu lama dalam keadaan cas penuh.
- Selain itu, ia dapat mengelakkan bateri terlebih cas dan mengelakkan kerosakan jika berlaku litar pintas.
- Guna bateri pada suhu 20 hingga 35 darjah C atau suhu bilik bagi memanjangkan jangka hayat bateri.
- Guna bateri yang asli atau original yang dikeluarkan oleh pengeluar masing-masing bagi mengelakkan kerosakan pada laptop anda.
- PERHATIAN!!! Pastikan ruang udara atau ruang penyejuk pada laptop tidak tertutup semasa proses mengecas bateri bagi mengelakkan laptop menjadi panas dan JANGAN menggunakan peralatan elektrik lain berdekatan dengan laptop anda.
6. AC Power Adapter atau penyesuai kuasa
- Pastikan sambungan pada setiap bahagian penyambung serta DC-in port dipasang atau disambung dengan betul dan kemas. Jika tersalah sambung dan secara tidak sengaja anda memaksanya untuk masuk berkemungkinan pin penyambung boleh rosak atau patah.
- Sapu habuk pada palam soket dan juga penyesuai kuasa.
- Pastikan spesifikasi penyesuai kuasa bersesuaian dengan penggunaan kuasa processor dan juga GPU agar ia dapat membekalkan kuasa yang sepatutnya terus ke laptop anda.
- Jika penyesuai kuasa mengalami suhu yang terlampau panas, dapatkan nasihat pengeluar laptop masing-masing dan beli yang baru.
7. Port RJ-45
- Jangan sambungkan atau putuskan sambungan kabel LAN pada port RJ45 semasa kilat sabung-menyabung kerana kebakaran boleh berlaku jika berlakunya litar pintas.
- Lebih teruk lagi jika ia mendatangkan kemudaratan kepada pengguna seperti melecur, buta dan sebagainya.
8. Antivirus atau Smart Security
- Guna antivirus atau smart security seperti kapersky atau ESET atau sebagainya pada sistem komputer anda.
- Bagi saya, Windows Defender sudah memadai bagi memberi perlindungan pada sistem komputer daripada ancaman sistem komputer.
9. USB vaksin
- USB vaksin seperti Panda USB vaccine berfungsi untuk mematikan fungsi autorun pemacu USB, CD/DVD atau media seumpamanya.
- Ini dapat mengelakkan malware atau program seumpamanya dijalankan secara automatik pada komputer anda.
- Selain itu, ia dapat menghalang pemacu USB anda menjadi agen penyebar malware ke atau daripada komputer yang lain di mana pemacu itu digunakan.
10. Perisian Utiliti
- Guna perisian utiliti seperti Advanced System Care atau TuneUp Utilities atau sebagainya bagi menyelenggara dan analisis diagnostik sistem komputer anda.
- Perisian ini mampu untuk mengoptimumkan prestasi sistem komputer anda.
11. Servis laptop
- Seboleh-bolehnya servis sekali setahun.
- Buat tinjaun harga dahulu sebelum servis laptop di kedai. Cari kedai yang menawarkan perkhidmatan servis dengan harga yang berpatutan.
- RM 30-35 boleh dianggap berpatutan untuk pakej pembersihan kipas dan heatsink serta ganti pes haba pada processor dan VGA (berdasarkan harga tahun lepas).
- Atau anda boleh lakukannya sendiri bagi mereka yang mahir.
Tiada ulasan :
Catat Ulasan