Khamis, 19 November 2015

Laptop Murah Berbaloikah?

Berbaloi atau tidak?


Berbaloi atau tidak ia sebenarnya bergantung kepada tujuan laptop tersebut digunakan, cara penggunaan, ciri-ciri rekaan laptop dan sebagainya. Bagi mereka yang tegar bermain permainan PC, saya syorkan kepada anda lebih baik
anda membeli desktop daripada anda membeli laptop yang diuar-uarkan laptop gaming murah. Tidak sampai satu tahun atau dua tahun penggunaan laptop tersebut, pelbagai kerosakan akan anda alami seperti paparan skrin tiba-tiba padam, kerosakan pada motherboard dan sebagainya. Desktop dengan harga antara RM 1500 dan RM 2000++ sudah memadai untuk mencapai tahap kepuasan anda bermain permainan PC.

Hakikatnya katakan tidak kepada laptop gaming murah dan jangan mudah terpedaya dengan spesifikasi sistem yang ditawarkan. Mengapa saya berkata demikian? Ini kerana laptop dibina secara khusus untuk penjimatan dalam penggunaan bateri dan juga mengelakkan laptop menjadi terlampau panas jadi dari segi kelajuan processor ia tidak mampu untuk mencapai tahap maksima seperti apa yang anda harapkan jika ia dijalankan secara berterusan. Jika ia dijalankan secara berterusan dengan jangka masa yang terlalu lama dan ditambah pula dengan grafik permainan yang tinggi, kerosakan pada motherboard boleh terjadi kerana laptop menjadi terlampau panas serta ia melepasi tahap kebolehupayaan yang sebenar.

Selain itu, penggunaan kuasa juga adalah kurang jika dibandingkan dengan desktop, untuk mencapai tahap kepuasaan bermain permainan PC kita memerlukan lebih kuasa daripada sistem komputer yang kita miliki. Isu lain yang perlu dihadapi adalah isu seperti naiktaraf sistem komputer anda. Dengan desktop, pelbagai perkakas baik dalaman dan luaran boleh dinaiktaraf seperti monitor, CPU, kad video atau kad grafik, RAM, bekalan kuasa, storan, kad bunyi dan sebagainya manakala soal harga pula bergantung kepada kemampuan anda. Pastikan buat kajian terlebih dahulu sebelum kerja menaiktaraf dilakukan.

Panjang betul mukadimmah. Berbalik kepada topik asal, berbaloi atau tidak jika kita membeli laptop murah? Bagi saya, jawapannya ialah YA (nota: Pastikan spesifikasi laptop bersesuaian dengan harga yang ditawarkan dan semak harga terkini di laman sesawang pengeluar laptop). Apa yang penting kita mesti tahu apa tujuan utama laptop tersebut digunakan. Contohnya, jika anda menggunakan laptop untuk kerja menaip tugasan kerja, membuat slaid persembahan, melayari internet dan juga menonton video atas talian, memadai bagi anda membeli laptop yang berharga sekitar RM 1000++ dan ke bawah (harga sebelum GST). Anda boleh semak harga laptop terkini di laman sesawang pengeluar-pengeluar laptop pilihan anda.

Anda tidak digalakkan membeli laptop secara atas talian kerana banyak aspek perlu diteliti contohnya ciri rekaan laptop tersebut. Adakah bateri laptop boleh ditanggalkan? Adakah penutup atau casing bahagian bawah laptop mudah untuk ditanggalkan bagi tujuan servis? Rekaan laptop seperti Compaq Presario C700 adalah salah satu contoh laptop yang saya kurang gemari kerana terlalu banyak skru perlu ditanggalkan pada penutup bahagian bawah semata-mata untuk membersihkan kipas processor dan heatsink laptop yang berhabuk. Ciri rekaan lain yang harus diteliti juga adalah sistem penyejukan laptop. Adakah ruang udara pada laptop dilindungi atau dilengkapi dengan penapis atau filter? Ini penting bagi mengurangkan risiko habuk daripada luar memasuki dan seterusnya terperangkap pada kipas processor atau dalaman dan juga heatsink. Fikir-fikirkanlah.

Model laptop murah dan berbaloi untuk dimiliki


Reviu laptop:

Salah satu model laptop yang murah dan berbaloi untuk dimiliki ialah laptop Lenovo G40 45 keluaran pada akhir tahun 2014. Laptop ini dikuasakan oleh quadcore AMD A-Series A8-6410 processor dengan kelajuan CPU processor 2 GHz hingga 2.4 GHz (dalam mod turbo). Ia adalah processor kelas pertengahan dengan teknologi 28nm, kod nama Beema. Di dalamnya telah tersedia APU grafik bersepadu siri AMD Radeon R5.

Berdasarkan processor yang ditawarkan pada laptop ini, prestasinya setara dengan processor intel i3 dan juga Pentium. Dengan menggunakan perisian Geekbench 3, skor prestasi processor bagi laptop ini ialah 1356 bagi teras tunggal dan 3836 bagi multi-teras. Walaupan skor prestasi processor bagi laptop ini jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan skor penanda aras yang disyorkan oleh Geekbench bagi prestasi processor terkini iaitu 2500 (i5 processor-teras tunggal), ia mampu untuk menjalankan pelbagai kerja dalam satu masa dengan baik tanpa tersekat-sekat. Saya telah mengujinya dengan menjalankan program mp3, melayari internet (pelayar dengan multi-tab sambil menonton video atas talian) dan menjalankan lembaran kerja Microsoft Office tanpa masalah.
Score A8 6410 Processor
Selain itu, ia juga mampu menjalankan kerja-kerja Photoshop (Adobe Photoshop CS4) dengan baik bergantung pada tetapan resolusi, mod warna dan juga saiz imej. Kerja-kerja multimedia seperti render, animasi 3D dan lain-lain kerja multimedia yang berat tidak sesuai bagi laptop ini. Bagi pelajar kejuruteraan pula, tiada masalah untuk anda menjalankan perisian simulasi litar seperti SPICE CAD, Proteus, Circuit Maker, Matlab dan sebagainya.

Dari sudut grafik pula, ia disokong oleh APU grafik bersepadu dan juga diskrit grafik AMD Radeon R5-M230 DDR3L 2GB. Menurut pengeluar ia bertujuan untuk meningkatkan lagi prestasi laptop dari segi grafik dengan harga yang murah. Dengan sokongan dwi GPU, tiada masalah untuk bermain permainan PC seperti Fifa, Lord of The Ring- Return Of The King, Might and Magic Heroes VI dan lain-lain permainan PC yang setara dengannya. Frame rate bagi Fifa 11 dengan tetapan maksimum dan resolusi skrin 1366 x 768, rata-ratanya 74 fps manakala Might and Magic Heroes VI berada dalam sekitar 30 fps dan LOTR- The Return of The King pula 60 fps, masing-masing dengan tetapan yang maksimum dan skrin penuh.
AMD Switchable Graphic Setting
Selain itu, dengan adanya aplikasi seperti switchable graphics, ia memudahkan pengguna untuk memilih tetapan grafik sama ada dalam mod peningkatan prestasi atau penjimatan kuasa atau berdasarkan sumber kuasa. Apabila tetapan grafik dalam mod peningkatan prestasi atau high performance, diskrit grafik akan diaktifkan sekaligus pengguna akan dapat merasai kelancaran bermain permainan PC, akan tetapi janganlah terlalu meletakkan harapan yang tinggi untuk bermain permainan PC yang berat dan terkini. Perlu diingatkan bahawa laptop murah dan berkuasa tidak dibina secara khusus untuk bermain permainan PC 3D grafik tetapi ia hanya memenuhi kelancaran dalam menjalankan tugasan harian. Walaupun laptop ini mampu untuk menjalankan permainan PC yang agak berat, anda tidak digalakkan untuk bermain permainan PC dalam jangka masa yang terlalu lama atas faktor suhu.

Dengan memori 2 GB DDR3 SDRAM sudah memadai bagi memacu sistem pengoperasian Windows 8.1 64 bits dan juga program yang akan anda jalankan kelak. Jika berkemampuan dan inginkan lebih prestasi pada laptop, anda boleh tambah RAM pada laptop ini. Selain itu, ukuran saiz skrin 14 inci HD dengan resolusi 1366x768 sesuai bagi mereka dalam melaksanakan tugasan harian di samping berhibur. Walau bagaimanapun, paparan skrin terlalu berkilat dan ia memantulkan imej persekitaran dengan jelas apabila ia diletakkan di luar rumah atau kawasan yang terang dan ini menimbulkan kesukaran untuk melaksanakan tugasan harian terutamanya bagi mereka yang sering melakukan tugasan luar pejabat dan sebagainya. (Tips: Jangan fokuskan cahaya pada skrin)

Bagi aspek haba pula, dalam keadaan terbiar atau idle suhu APU yang direkodkan adalah 34 darjah Celcius dan apabila menonton video dengan paparan skrin penuh selama 15 hingga 20 minit, suhu yang direkodkan adalah 43 darjah Celcius. Suhu tertinggi yang pernah dicatat ialah 68 darjah Celcius bagi APU dan diskrit kad grafik pula 56 darjah Celcius apabila bermain permainan PC dengan tetapan maksimum. Ia adalah bacaan suhu yang normal apabila program yang berat dijalankan. Jika suhu mencecah 80 darjah Celcius dan ke atas, perhatian harus diberikan dan ia perlu diservis dengan segera. Bacaan suhu diperoleh daripada rekod yang dipaparkan pada perisian Speedfan.

Kelebihan: harga yang murah, prestasi sistem memuaskan, potongan rekaan yang menarik.

Kekurangan: kualiti web kamera rendah, jangka hayat bateri rendah bergantung kepada kerja-kerja yang dilakukan.

Ulasan penulis: 
Dengan kuasa yang dijanakan pada laptop ini, prestasi sistem agak memuaskan bagi laptop peringkat permulaan dan harga yang ditawarkan juga berpatutan iaitu RM 1220 (awal tahun 2015), harga sebelum GST. Ia juga sesuai bagi mereka yang inginkan lebih prestasi dalam melakukan kerja-kerja seharian seperti tugasan ringan dan sederhana sambil meluangkan masa dengan bermain permainan PC, menonton video dan sebagainya. Selain itu, anda boleh jadikan laptop ini sebagai penanda aras untuk anda membeli laptop murah dan baik dari segi prestasinya. Walau bagaimanapun, bagi mereka yang gemar bersosial dengan membuat panggilan video, anda akan rasa kecewa dengan kualiti web kamera yang ditawarkan pada laptop ini.

Spesifikasi laptop

Model: Lenovo G40 45 80E1
OS: Windows 8.1 with Bing
Processor: AMD A-Series A8-6410 2 GHz sehingga 2.4 GHz dalam mod turbo
Memori: 2GB DDR3 SDRAM
Storan: 500GB SATA HDD
Grafik: AMD Radeon R5-M230 DDR3L 2GB
Pemacu optik: DVD-SM
Paparan skrin: 14" HD (1366x768)
Jaringan: dan komunikasi: Bluetooth 4.0, 802.11 b/g/n
Kamera: 720 / 0.3M
Sistem audio: Dolby Advanced Audio v2
Port / slot: VGA, HDMI, RJ-45, 2 in 1card reader (SD,MMC), 1xUSB 3.0, 2x USB 2.0, 2in 1combo jack
Warna: Hitam
Bateri: 4 cell 32 watt hour lithium-ion
Berat: 2.1 kg
Dimensi: 15.11" x 10.4" x 0.98" 

Tiada ulasan :

Catat Ulasan