Jumaat, 9 Oktober 2015

Panduan Diet Seimbang Aplikasi Cron-o-meter

Apa itu Cron-o-meter?


Cron-o-meter adalah satu perisian atau aplikasi diet untuk membantu orang ramai mengetahui berapakah jumlah setiap kandungan nutrien yang mereka perlukan mengikut jantina, umur, ketinggian, berat badan, tahap keaktifan
seseorang dan sebagainya. Perisian ini boleh didapati secara percuma di laman web ini atau di sini.

Ciri-ciri perisian

  • Menyokong sistem pengoperasian Windows dan Mac.
  • Mengandungi pelbagai data maklumat nutrien melebihi 8000 jenis makanan daripada sumber data terkini daripada Jabatan Pertanian Amerika.
  • Pengguna boleh menyunting maklumat makanan atau resepi sendiri dan disimpan dalam maklumat data perisian.
  • Pengguna boleh berkongsi maklumat resepi dengan pengguna lain.
  • Pengguna boleh menetapkan maklumat peribadi nutrisi.
  • Pengguna boleh mengakses maklumat biometrik seperti berat badan, tekanan darah dan juga suhu badan. Maklumat tersebut anda boleh rekodkan sendiri dan disimpan di dalam perisian.
  • Dapat menjana laporan terperinci nutrisi seseorang.
  • Menyokong jumlah pengguna yang ramai, tidak tertakluk kepada seorang pengguna sahaja.
  • Mesra pengguna dan mudah dikendalikan.


Fungsi Perincian Perisian

  1. Manage User berfungsi untuk menambah jumlah pengguna dalam satu perisian.
  2. Edit Nutrition Target berfungsi untuk memaparkan data jumlah kandungan nutrien yang diperlukan oleh seseorang berdasarkan jantina, berat badan, ketinggian dan lain-lain.
  3. Tetapan Macro Nutrient Ratio, pengguna boleh menetapkan sendiri jumlah nisbah peratusan bagi protien, karbohidrat dan lemak. Penting bagi mereka yang ingin menambahkan berat badan, mengekalkan berat badan sedia ada dan mengurangkan berat badan.
  4. Report untuk paparan nutrisi mengikut tarikh yang telah anda rekodkan.
  5. Add serving untuk menambah sebarang makanan atau hidangan ke dalam tetingkap makanan mengikut tarikh.
  6. Create New Food and Recipe khas bagi pengguna untuk menyunting maklumat makanan dan resipi anda sendiri di dalam data perisian.
  7. Diet untuk paparan maklumat makanan seperti kalori dan sebagainya.
  8. Biomakers memaparkan maklumat seperti berat badan, tekanan darah dan lain-lain dalam bentuk graf berdasarkan tarikh yang anda rekodkan bagi mengenalpasti perubahan yang berlaku mengikut amalan pemakanan anda.
  9. Maklumat aktiviti anda seharian juga boleh direkodkan dan juga disunting pada Exercise editor.
  10. Summary memaparkan jumlah peratusan nutrien yang diambil seseorang. Ini sebagai penunjuk kepada pengguna tentang peratusan setiap nutrien yang diperlukan dalam diet seharian.
Mungkin ada di antara pembaca tertanya-tanya apa itu macro nutrient ratio dan dan bagaimana cara untuk mengetahui dan menetapkan peratusan bagi protein, karbohidrat dan lemak bagi mereka yang ingin menambah berat badan atau mengekalkan berat badan atau mengurangkan berat badan. Di sini saya akan kongsikan kepada anda.

Apa itu macro nutrient ratio?


Ia adalah nisbah nutrien makanan yang diperlukan oleh seseorang bagi mengubah diet seseorang ke arah yang lebih baik. Berikut adalah julat peratusan nisbah protein kepada karbohidrat dan kepada lemak:-
  1. Bagi mereka yang ingin menambahkan berat badan, nisbah nutrien yang mereka perlukan adalah seperti berikut: Karbohidrat (40-60%) :Protein (25-35%) : Lemak(15-25%).
  2. Bagi mereka yang ingin mengekalkan berat badan, nisbah nutrien yang mereka perlukan adalah: Karbohidrat (30-50%) :Protein (25-35%): Lemak(25-35%).
  3. Bagi mereka yang ingin mengurangkan berat badan, nisbah nutrien yang mereka perlukan ialah:Karbohidrat (10-30%) :Protein (40-50%): Lemak(30-40%).
Kesimpulannya, berdasarkan nisbah nutrien makro berikut, tips bagi mereka yang ingin mengurangkan berat badan adalah dengan mengurangkan pengambilan makanan berkarbohidrat dan lebihkan memakan makanan bersumberkan protein. Anda boleh merujuk aplikasi Cron-o-meter bagi mengetahui dengan lebih lanjut maklumat diet anda dan jadikan nisbah tersebut sebagai penanda aras diet anda. Di sini saya sediakan satu contoh perbezaan di antara diet lelaki dewasa yang aktif dengan tidak aktif merujuk pada Cron-o-meter.


Perbezaan antara Diet Lelaki Aktif dengan Tidak Aktif Berpandukan Cron-o-meter

 

Kes 1:

Dengan berpandukan Set Nutrition Target di bawah, saya telah tetapkan tetapan maklumat fizikal lelaki dewasa dengan ketinggian adalah 170cm, berat 70kg, nisbah nutrien makro kepada 30:40:30 (tetapan kekalkan berat badan) dan tahap keaktifan yang rendah.

Nutrien Bagi Lelaki Dewasa Tidak Aktif

Merujuk kepada paparan skrin di atas, keperluan kalori (unit bagi tenaga) minimum bagi lelaki dewasa yang tidak aktif ialah 2355 kcal dan anda harus peka dengan keperluan kalori dalam tubuh anda jika tidak ia boleh memudaratkan kesihatan anda kelak jika kalori yang berlebihan tidak dibakar dengan melakukan aktiviti senaman dan sebagainya. Berat badan anda mungkin akan naik jika tiada panduan yang khusus berkenaan dengan diet harian anda. Bagi mereka yang tidak aktif bersukan dan kurang mengamalkan aktiviti luar, di sini saya akan kongsikan satu contoh diet harian yang boleh anda amalkan dengan bantuan Cron-o-meter seperti gambar di bawah (ianya contoh semata-mata):

Diet Lelaki Dewasa Tidak Aktif

Sarapan: bijirin + susu
Tengah hari: nasi + ikan tilapia + ayam seketul + sayur campur + jus oren
Malam: nasi + ayam masak stew + lemon jus

Berpandukan rumusan atau summary pada tetingkap hidangan, anda boleh lihat keperluan nutrien yang anda perlukan dalam diet seharian. Anda boleh tetapkan sajian anda sendiri mengikut kemahuan anda asalkan ia berkhasiat dan baik untuk kesihatan.

Kes 2:

Tetapan sama dengan kes pertama tetapi bagi kes kedua saya tetapkan tahap keaktifan yang tinggi berbanding kes pertama.
Nutrien Bagi Lelaki Dewasa Aktif
Berdasarkan paparan di atas, lelaki dewasa aktif memerlukan kalori sebanyak 2840 kcal berbanding dengan lelaki dewasa tidak aktif iaitu 2355 kcal. Tenaga yang banyak amat diperlukan untuk melakukan kerja seharian jadi diet seharian harus diselarikan dengan kadar kerja yang dilakukan dalam seharian. Berikut adalah contoh diet seharian berbantukan Cron-o-meter bagi mereka yang aktif sepanjang hari:
Diet Bagi Lelaki Dewasa Aktif
Sarapan: roti telur + susu + biskut
Tengah hari: nasi + ayam masak stew + ikan kerapu + sayur campur + jus oren
Malam: nasi + sayur campur + ayam masak stew + jus oren

Ulasan Penulis


Jumlah setiap nutrien pada paparan skrin hanyalah nilai anggaran sahaja, sebagai contoh purata nilai kalori yang diperlukan oleh lelaki dewasa sekurang-kurangnya di antara 2000 hingga 2500 kcal bergantung kepada ciri-ciri fizikal dan juga tahap keaktifan seseorang. Anda boleh merujuk pakar diet atau pakar nutrisi bagi mendapatkan penjelasan yang lebih mendalam lagi berkenaan dengan diet anda. Kelebihan perisian ini adalah anda boleh menyimpan rekod diet anda beserta dengan maklumat biometrik bagi tujuan analisis maklumat mengikut tarikh yang telah anda rekodkan. Ini dapat membantu anda mengubah amalan pemakanan anda ke arah yang lebih baik dari semasa ke semasa.

Bagi memasang perisian ini, anda perlu memasang atau install aplikasi jre 32 bit (Java Paltform SE Binary) terlebih dahulu, seterusnya pasang perisian ini pada komputer anda. Jika anda mahu membuang atau uninstall perisian ini, ikuti langkah-langkah berikut:-
  1. Klik pada Control Panel -> Programs -> Programs and Features -> double click pada ikon Cron-o-meter -> Yes
  2. Anda juga boleh menggunakan perisian RevoUninstaller.

Penafian


Penulis tidak bertanggungjawab ke atas pembaca yang menggunakan perisian ini, itu adalah tanggungjawab anda sendiri. Dapatkan nasihat pakar diet bagi memenuhi keperluan nutrien anda dengan tepat. Perisian ini berguna untuk dijadikan sebagai alat penyimpanan rekod data diet, biometrik dan lain-lain.

Tiada ulasan :

Catat Ulasan