Selasa, 29 September 2015

Perisian Pengaturcaraan C/C++ Terbaik untuk Pelajar

Adakah anda seorang pelajar atau mereka yang masih tercari-cari apakah perisian pengaturcaraan C/C++ yang terbaik untuk menyiapkan tugasan projek, membangunkan kod program atau sebagainya? Anda ingin tahu jawapannya? Perisian Code::Blocks mampu menyelesaikan masalah anda. Itulah jawapannya.

Apa itu Code::Blocks?


Code::Blocks adalah perisian pengaturcaraan komputer bahasa C/C++ yang boleh didapati secara percuma, dengan erti kata lain ianya sumber terbuka di mana anda diberikan hak untuk belajar, mengkaji, mengubah, menyalin atau mengedarkannya kepada sesiapa sahaja dengan lesen telah disediakan oleh pemegang hak cipta perisian tersebut. (Rujuk di sini untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai lesen perisian ini).


Ciri-ciri perisian


1. Perisian ini menyokong sistem pengoperasian seperti Windows, Linux dan Max.

2. Diedarkan di bawah lesen GPLv 3.0 di mana ia bebas digunakan oleh sesiapa sahaja.

3. Menyokong pengkompil atau penyusun (compiler) program seperti GCC (MingW/GNU GCC), Borland C++ 5.5 dan sebagainya.

4. Menyokong projek yang pelbagai.

5. Ruang kerja yang sistematik di mana fail kod sumber yang pelbagai boleh digabungkan dalam satu projek tunggal

6. Binaan sistem yang ringan dan pantas dan banyak lagi.

Pengalaman saya menggunakan Code::Blocks


Mengapa saya menggemari perisian ini? Perisian ini tidak begitu berat dan keseluruhan proses pelaksanaan program berjalan dengan lancar, menjimatkan ruangan sistem C hanya 140MB bagi versi 10.05. Selain itu, pengurusan fail kod sumber yang sistematik dan memudahkan pengguna lain menguruskan fail kod sumber tersebut. Sebagai contoh, jika anda diberikan satu tugasan secara berkumpulan berkenaan dengan pembangunan kod program yang berkaitan dengan sistem pesanan dan pembayaran bagi sesebuah restoran, anda dan rakan anda boleh membahagikan tugas-tugas yang berkaitan seperti menu yang disediakan beserta dengan harga yang telah ditetapkan dan juga pengiraan bayaran makanan yang telah dipesan dengan memproses fail-fail kod sumber tersebut kepada fail objek dan seterusnya menghubungkannya dengan cara yang mudah, susunan fail yang teratur, mudah diurus, senang difahami dan tidak terlalu serabut. Bagi memudahkan pemahaman anda dengan apa yang saya maksudkan, saya akan sediakan satu tutorial khas bagaimanakah cara untuk melaksanakan program tersebut dengan erti kata lain menjalankan proses menterjemah dan menghubungkan fail-fail kod sumber yang pelbagai dalam satu projek tunggal. Untuk keterangan lanjut sila rujuk di sini. (Tutorial Cara Menghubungkan Pelbagai Fail Kod Sumber).

Mudah bukan.

Jika anda berminat, anda boleh memuat turun program.exe di laman web ini.

Jika anda tidak pasti fail.exe yang mana untuk dimuat turun, anda boleh pilih codeblocks-13.12mingw-setup.exe bagi pengguna Windows. Setelah selesai dimuat turun dan dipasang pada komputer, anda boleh rujuk tutorial Cara-cara Tetapan Projek Baru Code::Blocks pada Windows

Untuk membuang atau uninstall perisian tersebut daripada komputer anda, anda boleh menggunakan dua cara iaitu:

1. Control Panel->Program->Program and Features->Codeblocks (Right Click and Click Uninstall)

2. Untuk membuang segala fail termasuk register file, anda boleh menggunakan perisian RevoUninstaller.

Selamat mencuba. 


Tiada ulasan :

Catat Ulasan